Pada zaman revolusi teknologi telekomunikasi dan multimedia tanpa had ini, internet menjadi perkara penting dalam kehidupan kita. Internet merupakan teknologi asas dalam pembangunan teknologi maklumat. Kini, internet merupakan salah satu saluran rangkaian perhubungan dunia yang telah mengecilkan dunia selain televisyen. Ianya juga memberi banyak kebaikan kepada masyarakat kerana penggunaannya yang meluas dan maklumat tanpa sempadan. Semua perkara dapat dilakukan dengan adanya internet. Masyarakat tidak terlepas dari merasai bahang internet dengan capaian berita dengan cepat dan pantas serta dari mana-mana sahaja mahupun luar negara atau dalam negara. Masyarakat perlulah menggunakannya dengan sebaik mungkin dan elakkan diri daripada menjadi katak di bawah tempurung. Dengan kehadiran internet, masyarakat menjadi lebih maju dan mempunyai pengetahuan yang luas. Internet banyak membantu kita dalam kehidupan seharian. Oleh itu, mari kita lebarkan skop perbincangan dengan tajuk kebaikan internet dalam kalangan masyarakat untuk mendalami manfaat internet.
Pertamanya, kegunaan internet yang utama adalah mencari dan mengumpul maklumat dalam masa yang singkat. Internet sememangnya membolehkan kita mencari maklumat dalam masa yang singkat. Sama ada kita mencari dengan menggunakan telefon pintar atau komputer, hanya ada satu keperluan yang membolehkan kita melayari internet iaitu hubungan internet. Pada zaman ini, perkara ini menjadi satu kewajipan sehingga pada tahap remaja. Mereka sudah giat menggunakannya untuk berhubung dengan kawan-kawan mereka. Remaja juga boleh mencari maklumat untuk menyiapkan kerja sekolah mereka. Internet juga merupakan perkara yang 'mesti ada' dalam kalangan orang yang bekerja. Ianya memudahkan pencarian dan pengumpulan maklumat kepada sesiapa yang menggunakannya. Tamsilnya, kita boleh mencari maklumat tentang destinasi yang ingin kita lawati dan memudahkan pencarian dengan menggunakan aplikasi GPS. Dengan itu, kita boleh membuat pilihan destinasi mahupun menyediakan bajet atau kos untuk percutian tersebut. Sejajar hal ini, masyarakat dapat meluaskan pandangan mereka bukan sahaja di dalam negara tetapi luar negara juga. Di samping itu, penggunaan internet menggalakkan masyarakat Malaysia untuk bercuti dan juga orang luar melawat ke negara kita. Kesannya, internet menggalakkan pergerakan masyarakat dari serata dunia untuk melawat ke negara-negara lain. Internet juga boleh memberikan maklumat tentang apa-apa sahaja dengan menggunakan hujung jari sahaja.
Seterusnya, mari kita selusuri tentang kebaikan internet iaitu dapat menyelesaikan pelbagai urusan seharian seperti membayar bil dan urusan perbankan. Semakin maju teknologi, semakin maju masayarakat zaman sekarang. Negara yang maju mempunyai sistem pengurusan kewangan yang mantap. Negara kita sedang menuju Wawasan 2020, dengan itu, Malaysia telah menaiktaraf pengurusan pengendalian kewangan. Rakyat Malaysia boleh membuat bayaran cukai melalui 'online'. Kebaikan membayar bil atau cukai secara atas talian menjimatkan masa dan memudahkan rakyat Malaysia membayar cukai dan bil masing-masing serta mendorong kepada pembayaran yang tidak bertangguh dan tidak bermasalah. Contohnya, segelintir masyarakat ingin membayar cukai atau melangsaikan hutang dengan dengan menggunakan kemudahan Maybank2U. Kita hanya perlu memilih untuk membayar dengan Maybank2U atau cara lain untuk menyelesaikan bayaran tersebut. Internet memberi kemudahan kepada kita untuk membayar cukai, bil dan urusan perbankan. Oleh itu, kita mesti menjalankan tanggungjawab kita dengan membayar perkara-perkara tersebut kerana hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Cuba kita fikirkan, apa akan terjadi jika rakyat Malaysia tidak terdedah kepada penggunaan internet? Sudah tentu pembangunan Malaysia membangun secara perlahan atau tidak membangun sama sekali. Kesimpulannya, kita perlu menghargai kegunaan internet dengan membuat perkara yang berfaedah seperti membayar bil dan urusan perbankan.
Bukan itu sahaja, internet dapat berkomunikasi di antara jarak jauh dan jarak dekat malah merentasi lautan seantero dunia. Internet memudahkan perhubungan kita dengan saudara mara kita yang jauh. Kemudahan perhubungan internet seperti 'Facebook', 'Twiter', 'email' dan lain-lain dapat menghubungkan kita dengan seseorang di mana-mana sahaja. Berikutan itu, dengan adanya kemudahan internet, keselamatan juga terjamin. Tamsilnya, ibu bapa yang menghantar anaknya untuk belajar di luar negara selalu berhubung menggunakan perkhidmatan 'skype'. Ibu bapa boleh berhubung dengan anak malah boleh melihat wajah mereka juga. Internet amat penting bagi mengekalkan hubungan yang erat kerana air dicincang tidak akan putus. Lantaran itu, Internet membolehkan kita berhubung dengan keluarga dan kawan tidak kira di mana sahaja kerana internet tiada sempadan untuk berhubung antara satu sama lain. Internet sememangnya memberi kelebihan untuk kita berhubung dengan orang lain tidak mengira jarak sama ada dekat atau jauh.
Selain itu, internet membenarkan ibu bapa mendapatkan keputusan peperiksaan anak-anak secara cepat dan berkesan. Ibu bapa sibuk dengan pekerjaan masing-masing sehingga tidak mempunyai masa untuk melihat prestasi anak-anak di sekolah. Ibu bapa haruslah mengetahui pencapaian anak dalam pelajaran supaya kebajikan mereka tidak terabai dan mereka akan rasa disayangi oleh ibu bapa yang sibuk mencari duit untuk menampung perbelanjaan seharian. Internet boleh membaiki perkara berikut dengan mewujudkan sebuah laman web khas untuk mengetahui rekod pencapaian anak di sekolah. Tamsilnya, laman web SAPS disediakan oleh pihak kerajaan untuk kemudahan ibu bapa menyemak keputusan peperiksaan anak secara atas talian. Dengan melayari laman web ini, ibu bapa dapat menjimatkan masa dan tenaga. Selain itu, ibu bapa boleh terus berhubung dengan guru untuk membincangkan hal anak dalam kumpulan 'WhatsApp'. Lantaran itu, ibu bapa dapat mengawal hal ehwal anak-anak walaupun mereka tiada dalam pandangan ibu bapa. Oleh itu, internet digalakkan dalam masyarakat kini yang tiada masa untuk meluangkan masa bersama-sama keluarga.
Selanjutnya, kebaikan internet juga adalah memudahkan urusan pembelian barang sekali gus menjimatkan masa, tenaga dan kos. Masyarakat sekarang semakin sibuk dengan rutin harian mereka iaitu bekerja untuk mencari rezeki supaya dapat mengurangkan beban inflasi yang meningkat pada kebelakangan ini. Lanjutan daripada isi sebelumnya, kebanyakan masyarakat tiada masa untuk meluangkan sedikit masa untuk beriadah. Internet memberi jalan lain yang memudahkan kehidupan masyarakat dengan prasarana dan kemudahan-kemudahan lain. Bagi seseorang yang tidak mempunyai masa untuk beriadah atau membuat urusan lain, Internet boleh memudahkan urusan pembelian barang terutamanya barang runcit. Jika dibandingkan dengan negara lain, negara seperti Jepun dan Korea telah mempraktikkan amalan ini dalam kalangan masyarakatya. Sejajar hal ini, kita dapat mencontohi amalan mereka dan mempraktikkannya di Malaysia. Dengan menggunakan Internet. masyarakat boleh menjalankan rutin harian mereka dengan lebih cepat dan berkesan.
Rumusannya, penggunaan internet sememangnya jelas memberikan seribu satu faedah atau manfaat kepada kita. Oleh itu, sebagai masyarakat yang berminda kelas pertama, kita perlulah memanfaatkan penggunaan internet dalam menimba ilmu pengetahuan khasnya. Dalam era serba moden ini, kita janganlah ketinggalan umpama katak bawah tempurung kerana penggunaan internet seakan tidak dapat dipisahkan lagi dengan kemajuan negara sekarang. Jadi pihak kerajaan perlulah mendidik masyarakat menggunakan internet bagi melahirkan generasi celik IT sekali gus setanding dengan masyarakat negara maju lain demi mencapai Wawasan 2020. Selain itu, ibu bapa juga tidak ketinggalan perlu mendidik anak-anak mempelajari internet di rumah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tuntasnya, tidak dapat dinafikan bahawa kemudahan internet sememangnya memberikan pelbagai faedah kepada kita.